Apa pulak lepas ni?

Bermula 1 Mei nanti, akan ada satu mekanisme baru penetapan harga petrol bersubsidi bagi harga bahan bakar di Malaysia. Seperti yang anda semua baca dalam laporan akhbar yang terkini, antara yang digariskan dalam penetapan baru ini ialah subsidi diberi berdasarkan kepada kapasiti enjin. Ini  dibuat supaya subsidi yang diberi kerajaan benar-benar sampai kepada golongan sasaran. Buat masa ini, harga petrol disubsidikan secara tetap, harga sama dibayar walaupun anda seorang ahli korporat memandu S Class ataupun saya yang memandu Kenari.

Bila menteri memberi gambaran awal bahawa ianya berkenaan subsidi yang adil, ia turut melibatkan kemewahan dari rakyat Singapura dan Thailand ditarik kembali. Tidak dapat dinafikan, setelah bertahun lamanya, rakyat Singapura dan Thailand mengambil kesempatan di atas subsidi yang diberikan oleh kerajaan Malaysia. Mekanisme penggunaan Mykad adalah antara yang disebut. Jadi apa yang anda jangka dari perlaksanaan yang tak lama lagi ni? Mampukah ia mencapai matlamat?

Secara teorinya n ampak macam berkesan tertapi percayalah ia mustahil untuk dilaksanakan. Lebih mudah untuk bercakap dan membuat garis panduan daripada mengimplimentasikannya. Selagi petrol disubsidi, selagi itulah kita akan berhadapan dengan masalah ini. Selagi dasar automotif kita kekal dengan cukai yang tidak munasabah, selagi polisi pinjaman tidak diubah, selagi orang membeli kereta sebab mereka rasa mereka mampu membeli kereta, maka isu ini akan berlarutan dan meleretleret.

Kapasiti Enjin. Logikkah sekadar membuat tafsiran bahawa enjin berkapasiti besar tidak layak mendapat subsidi? Sangat tidak bijak. Mercedes 300SE 126 tahun 1988 yang berharga RM10 ribu pada hari ini terpaksa membayar lebih RM2000 untuk cukai jalannya. Kerana enjinnya 3000cc. Tidak semua pemiliknya kaya. Itupun dah cukup memeritkan. Kawan saya pakai kereta ni sebab maintenancenya murah dan enak dipandu jauh, bulan-bulan tak ada bank telefon tanya installment. Jika mengikut garis rebat yang diperkenalkan tahun lepas (RM625 untuk enjin 2000cc ke bawah) maka sudah tentulah 3000cc tidak layak mendapat subsidi Mei nanti.

Bagaimana pula halnya dengan Kia Carnival tahun 2002 yang kini cuma pada harga Proton Saga? Adalah mereka tidak layak mendapat subsidi kerana enjinnya 2.5 liter? OK. Bagaimana pula kalau saya pakai RX8, boleh dapat subsidi? Enjin 1.3 je. Lagi murahlah  patutnya dari Persona.

Bukan senang. Banyak benda yang bersangkut paut. Tengok Mexico, bila Felipe Calderon subsidikan petrol, betapa susahnya mereka menyekat rakyat Amerika merentas sempada membeli bahanapi dari mereka. Membuat dasar kerana mengelakkan pembelian dari negara luar mungkin lebih mudah kalau kita tidak bersempadan dengan negara petrol berharga mahal. Kita dahpun mencuba sebelum ini. Petrol had 50km dari sempadan Malaysia Thailand, Malaysia Singapura dan kemudiannya had 20 liter. Semuanya tak jalan.

Jadi penyelesaiannya? Tidak  ada. Kita kena guna mekanisme lain yang mungkin ramai orang tidak bersetuju dengan saya. Jangan subsidikan Petrol. Jika petrol tidak disubsidikan pada hari ini, kita akan membayar RM2.10 untuk RON 95. Betul. Kemudian, kenakan pula surcaj pada petrol RON97. Jual lebih mahal dari harga tanpa subsidi. Orang yang pakai Type R dan Swift Sport memang berduit.

Tapi harus diingat, kita juga akan membayar petrol lebih murah dari RM1.80 jika harga minyak mentah dunia turun. Ini hakikatnya. Jika nak gunakan Mykad sebagi benchmark bagaimana? Nak suruh LHDN check status kewangan? Sedangkan hari ni pun berapa ramai orang kaya yang tak bayar cukai.

Namun untuk membuat dasar ini, ia perlulah selari dengan polisi lain. Kereta perlulah lebih murah mengikut piawai negara-negara seperti Thailand dan Indonesia. Indonesia masih ada subsidi bahanapi tapi mereka masih menikmati harga kereta yang rendah. Sebagai contoh Honda City di Thailand Cuma RM68 ribu, hampir RM20 ribu lebih mahal di sini. Begitupun, mereka ada versi manual. Cuma RM50 ribu. Pengeluar di Malaysia juga perlu mengamb il langkah yang sama, bawa versi manual macam Vios J (RM69k?). Kurangkan aksesori yang tidak perlu dan jadi kan kereta ini lebih murah.

Bila kereta ini lebih murah, maka akan banyak orang membeli. Kesilapannya ialah struktur pinjaman hari ini. bermakna walaupun kereta mahal, struktur pinjaman sampai berbelas tahun membolehkan orang membeli dan terus membeli. Walhal banyak yang hanya membeli tetapi tidak mampu  menyelenggara atau mengisi petrol. Malah ada keluarga yang memiliki 2-3 buah kereta padahal mereka mungkin hanya memerlukan 1 sahaja.

Kesilapan di sini ialah kelemahan sistem pengangkutan awam. Berkait bukan? Jadi bila pengangkutan awam cekap, tidak menjadi masalah kalau petrolnya mahal. Duit subsidi yang sepatutnya diberikan pada petrol tadi digunakan untuk penambahbaikan sistem pengangkutan awam kita. Kalau betul-betul nak jimatkan duit subsidi, gunakan duit subsidi tu untuk subsidikan tiket, LRT, Komuter dan Monorail. Saya berani jamin, tidak ada CEO atau pegawai korporat yang naik pengangkutan awam. Jadi inilah saluran subsidi yang tepat.

Contohnya Encik Baharuddin yang tinggal di Kota Damansara. Berapa besar populasi di situ? Anda kira sendiri. Katakan kita ada sistem LRT atau pengangkutan massa yang cekap terus ke KL dan PJ. Jadi Encik Baharuddin boleh naik sahaja LRT dari rumahnya ke KL, isterinya pula naik pengangkutan yang sama ke PJ. Syaratnya, interaksi sistem ini mestilah cekap. Bila ia menepati waktu dan cekap, kereta hanyalah perlu bila nak balik kampung atau hujung minggu atau pergi IKEA. Untuk lebih imagnatif, bayangkan pula kalau ada Shikansen dari KL ke KB dengan tiket pada harga Air Asia. Saya pun tak ingin memandu 8 jam. Baik naik bullet train. Kereta pun buat pergi autoshow je. Amacam?

Untuk menjadi lebih adil kepada semua, duit surcaj pada petrol RON97 tadi boleh dibuat pusingan untuk mengurangkan kadar bayaran tol. Kalau dulu kos minyak dan tol RM80 ke Johor, selepas minyak tanpa subsidi, kos masih lagi RM80 sebab tolnya dah murah. Adil pada kereta mewah? Ya. Sebab mereka telah membantu kita membayar tol dengan duit petrol 97 yang mereka beli mahal tadi. Kalau masih tak cukup lagi, kenakan  tol berganda pada kereta plet luar. Tak cukup lagi, buat tol gantri.

Subsidi bukannya tidak perlu. Kalau matlamatnya nak menyalurkan kepada mereka yang benar-benar berhak, maka kekalkan pada Bas-bas sekolah, pengangkutan kritikal seperti bas kampung, bas ekspress, teksi kampung, nelayan dan industri yang berkaitan. Itu barulah tepat.

Kepada kerajaan 1Malaysia, apa juga mekanisme yang akan dibuat nanti, tolonglah berbincang dengan orang yang cerdik dan pandai. Ramai di Malaysia yang berpengalaman dan berpengetahuan. Jangan buat keputusan berdasarkan persepsi (assuming) ataupun aplikasi satudua poin yang diambil dari polisi negara tertentu. Buat dasar tu pun rangka untuk jangkamasa panjang dan paling penting, jangan buat  pengumuman pada minit-minit akhir, ia akan buat orang lebih marah dan orang lebih marah dan situasi jadi panik.

irwan@majalahkereta.com.my Visit my blog ---> http://geartinggi.com

 

 

HTML Comment Box is loading comments...